Wednesday, April 27, 2011

Kaiser: The Gatekeeper Prolog

Prolog


Lembah Kashir. Kawasan Empayar Babil

    Sinar mentari menyirami lembah yang hening ini. Sungainya mengalir tenang. Kelihatan anak-anak ikan berenang-renang di gigi air. Unggas-unggas berterbangan, mencari rezeki di awal pagi.
   
    Kedengaran bunyi derapan kuda memecah kesunyian subuh. Langkahnya cukup pantas. Namun tidak bagi si penunggang. Dia seolah-olah merasa kudanya sekadar berjalan. Dia mahu laju, laju dan laju lagi. Kerana dia tahu, seorang utusan mestilah seperti angin. Pantas bergerak membawa khabar diantara negeri.
   
    Tambahan pula dia bukan membawa khabar kecil. Ini perkhabaran besar! Shah Bahram mesti tahu perkhabaran ini. Kerajaan Bahadur, kerajaan Sempadan Tengah telah tumbang!

...................

Kota Urukish. Ibu Kota Babil.

    Shah Bahram berdiri di beranda Istana, memandang jauh ke arah kota. Dari beranda inilah baginda dapat melihat kemakmuran kota. Kemakmuran yang diwarisi dari mendiang ayahanda baginda. Namun di sudut hati, kegusaran sentiasa melanda, bimbang Tiberia akan mengatasi Babil dan merampas kemakmuran ini.
   
    “Ampun Tuanku!”. Shah Bahram menoleh kebelakang, melihat empunya suara itu.
   
    “Ah....Panglima Artabanus! Selamat kembali!” balas baginda, menyambut kedatangan Panglima Diraja itu. Kelihatan seorang pemuda, berjambang halus dan gagah berdiri.
   
    Artabanus mengangguk kepalanya. Baju perisainya kelihatan kotor berdebu. Kesan percikan darah jelas kelihatan. Namun yang pasti, itu bukan darahnya.
   
    “Beta seolah-olah rasa Tuan Panglima datang membawa khabar gembira dari medan Barophyle” Bahram tersenyum memandang panglimanya.
   
    Artabanus menepuk tangannya memberi isyarat. Seorang pengawal masuk membawa bungkusan. Bahram melangkah, membuka bungkusan yang berlumuran darah itu. Dan barulah baginda tahu rupanya itu kepala manusia! Namun tidak sedikit timbul perasaan takut di wajah baginda. Sebaliknya bibir baginda mengukir senyuman sinis.
   
    “General Lucius. Ketua Legion barat Tiberia. Kepalanya patik persembahkan kepada Tuanku sebagai tanda kemenangan kita di medan Barophyle.” Artabanus menundukkan kepalanya penuh hormat dan bangga.

    “Ha! Ha! Ha! Bagus sekali panglima bagus. Tapi beta rasa lebih elok Tuan Panglima hantarkan saja kepala ini ke Tiberia. Jadikan ini amaran agar jangan sesekali mereka cuba merampas negeri naungan kita.”
   
    “Patik akan turut kemahuan tuanku.” sekali lagi panglima setia itu menundukkan kepalanya.
   
    “Bagimana keadaan di Barophyle sekarang?” Bahram mahu kepastian. Dia membayangkan medan tersebut pastinya dibanjiri darah.
   
    “Lebih kurang seribu orang tawanan kini sedang menanti nasib mereka Tuanku. Dan ramai  tentera Tiberia lari ke sempadan. Patik rasa mereka tak akan dapat mengancam kita buat masa ini” lapor Artabanus dengan teliti.
   
    “Bagus. Tidak sia-sia kamu menjadi salah seorang penglima beta. Andai beta ada seribu lagi penglima seperti kamu, nescaya Tiberia akan tunduk di kaki beta.” puji Bahram, bangga dengan pencapaian panglima kesayangannya.
   
    “Ampun Tuanku.” Artabanus menzahirkan terima kasihnya.
   
    “Dan beta tahu kamu penat. Pulanglah berehat. Beta tak mahu panglima beta mati keletihan pula. Ha..ha..ha..” Bahram berseloroh. Mungkin gurauan baginda  kasar namun Artabanus tidak kisah dengan kata-kata baginda.
   
    Tiba-tiba pintu terkuak luas. Seorang lelaki tua berjanggut kelabu melangkah masuk. Diwajahnya terpancar kegelisahan. Menurutinya adalah utusan yang merentasi lembah Kashir.
   
    “Ampun tuanku sembah selamat patik ucapkan” lelaki tua itu menundukkan kepalanya.
   
    “Bendahara Akasyen. Perkara apa yang membuat seolah-olah bendahara baru melihat hantu?” Bahram hairan melihat tingkah laku bendaharanya. Bendahara Akasyen memang terkenal dengan ketenangannya dalam berbicara. Namun  tidak kali ini.
  
     “Ampun tuanku. Utusan ini datang membawa khabar yang kurang menyenangkan. Dan patik rasa elok tuanku sendiri bertanya kepadanya” Bendahara menunjuk kearah utusan tadi.
  
    “Perkhabaran apa yang kamu bawa?” Bahram ingin kepastian.
 
    “Ampun tuanku. Adapun khabar angin tentang askar Cyrdia dari Timur Jauh itu tidak lain hanyalah benar belaka. 2 hari lepas mereka telah tiba di Bahadur. Dan baru semalam Bahadur jatuh ketangan mereka” utusan tersebut memperincikannya.
  
    “Cuma sehari? Mereka menawan Bahadur dalam masa sehari!?” Artabanus mencelah lantaran terkejut kerana mudahnya Bahadur tumbang.
  
     “Mereka seolah-olah tidak ambil peduli, Tuan Panglima. Ketika Raja Bahadur menyedarinya, mereka sudah tiba di gerbang kota. Dan tentera Bahadur pula sudah tidak sempat berbuat apa-apa” utusan menjawab pertanyaan Artabanus.
  
     “Biarkanlah.” jawapan yang diberi Shah Bahram, benar-benar mengejutkan 3 lelaki yang ada di situ. Raja mereka seolah-olah tidak ambil peduli!
  
      “T...Tuanku...apa yang...” Akasyen tergagap-gagap berkata, masih tidak percaya dengan reaksi rajanya yang begitu selamba.
  
      “Tidak ada apa yang perlu dirisaukan, bendahara. Kita semua tahu Raja Bahadur memang pengecut orangnya. Urusan hariannya tidak lain hanyalah emas, arak dan perempuan. Jika seaorang menteri mengajak bicara, dia akan memekakkan telinga sambil menggenggam-genggam emas. Jika panglimanya mengajak kejalan perjuangan, dia hanya ketawa bersama gundiknya. Apabila sebuah negeri berajakan seseorang seperti itu, kemusnahan sajalah jawapnya.”
  
      “Tuan Panglima pun sedia maklum kekuatan tentera Bahadur. Mereka hanyalah petani dan pedagang malah perompak. Angkat pedang entahkan tahu atau tidak.Andai Tuan Panglima menjerit saja dihadapan mereka, nescaya mereka akan lari lintang pukang” Bahram berbicara panjang. Nyatalah dia memang tahu Kerajaan Bahadur menanti masa saja untuk ditumbangkan.
  
     “Bukan itu masalahnya, Tuanku. Patik gusar dengan Cyrdia yang sedang bergerak kearah kita” bendahara melemparkan kegusarannya. Namun, sekali lagi dia terkejut dengan jawapan yang diterimanya.
  
    “Mereka yang bendahara risaukan? Ha..ha..ha!” Bahram sekadar menjawab dengan ketawa yang sinis.
  
    “Bendahara sendiri tahu negeri-negeri di Timur Jauh tidaklah sekuat mana. Belum pernah ada mana-mana kerajaan mereka yang berani menyeberang Sempadan Tengah. Malah mereka perlu melalui 5 lagi kerajaan sebelum menjejak sempadan kita.”

    “Tuanku, Kaisar Cyrdia  telah menyatukan Timur Jauh dalam tempoh dua tahun saja tuanku.” Akasyen sekali lagi memujuk Bahram agar lebih serius dalam hal ini.
  
    “Bendahara bercakap tentang Zulkarnain si Tanduk Dua itu? Ha...ha...ha. Dia masih belum kenal hujung dan pangkal. Sungai disangkanya lautan, bayu disangkanya taufan. Mereka masih belum kenal sejarah bangsa kita yang sudah mencecah 2000 tahun.”
  
    “Bendahara pun sedia maklum, Timur Jauh tidaklah seluas mana. Tidak sampai separuh luasnya kerajaan kita. Kalaupun mereka menawan Sempadan Tengah, kita akan kuburkan mereka disitu, sebelum kaki melangkah ke tanah Babil.” bicara Bahram, terlalu memandang rendah Cyrdia.
  
    Akasyen menghela nafas panjang. Nyata sekali Bahram tidak “berminat” dengan Cyrdia.    
  
    “Cyrdia hanya tikus kecil. Mustahil mereka berani duduk sekandang dengan singa dan harimau.”
  
    Akasyen mengangguk. Dia memahami maksud Bahram. Dia sekadar memberi buah fikiran. Segala keputusan terletak ditangan raja. Lalu dia memandang ke arah timur, seolah-olah mencari kalau-kalau panji Cyrdia sudah kelihatan.

Sinopsis Novel "Kaiser : The Gatekeeper"/ "Hikayat Kaisar : Penjaga Gerbang"

     Benua Agung. Tempat bermulanya ketamadunan. Kemuncak ketamadunan ini akhirnya melahirkan ketamakan dan gila kuasa. Dua kerajaan agung, Tiberia di barat dan Babil di timur merebut kekuasaan mutlak di tanah Benua Agung. Pemimpin-pemimpin kerajaan kecil hanya mampu memilih antara dua, tunduk kepada Tiberia atau Babil, atau negeri dimusnahkan.
 
     Namun, tidak Tiberia mahupun Babil sedar, nun di timur jauh, Empayar Cyrdia sedang bergerak ke Benua Agung. Dibawah pimpinan Kyrus, pewaris Mahkota Zulkarnain, Cyrdia mula melanggar setiap negeri yg dilalui mereka, mencari Tembok A’juj yg misteri.
 
      Jauh di Sempadan Tengah,  seorang pemuda merentas tanah gersang Hadra’ajal. Letih, luka dan keseorangan, dia mengembara jauh mencari Tembok A'juj dan berharap akan menemuinya sebelum Zulkarnain.

Intro

Aku hanyalah seorang insan biasa yang ingin berkarya. Pada aku berkarya tidak semestinya menulis novel dan cerpen. Lukisan juga merupakan sebuah karya. So aku harap kepada para pengujung yang telah membaca atau melihat setiap karya yang aku sampaikan, silalah memeberi kritikan. Aku perlu tahu dimana kesilapan aku kerana aku hanya seorang manusia.